Thursday, August 04, 2005

Westport sasar pemunggahan kargo 35 psj

Oleh Suffian A Bakar


Image hosted by Photobucket.com
PADAT: Westport mampu mengendalikan 2.6 juta TEU kontena setahun.


WESTPORT mensasarkan untuk mencapai tahap pemunggahan kargo 35 pergerakan sejam (psj) tahun ini.

Pengerusinya, Tan Sri G Gnanalingam (gambar kanan), berkata produktiviti kontena di pelabuhan telah meningkat daripada 20 psj pada 1994 kepada 30 psj tahun lalu.

"Sasaran produktiviti pemunggahan kargo am ialah 300 tan sejam, kargo pukal kering 500 tan sejam, manakala pukal cecair pula pada 3,000 tan sejam," katanya.

Beliau berkata, Westport juga sudah lama memberikan keutamaan kepada latihan dan pengurusan tenaga kerja mahirnya, mendahului kecekapan Penguasa Pelabuhan Singapura (PSA) yang meningkat cemerlang dengan 25 psj.

"Jumlah kontena meningkat setiap tahun daripada 20,000 kotak pada 1996 kepada 2.6 juta kotak hari ini.

"Jumlah konvensional kami juga meningkat, dan hari ini berada pada tahap lapan juta tan," katanya sambil menambah perolehan Westport tahun ini dijangka melepasi paras RM500 juta.

Gnanalingam berkata, bertahun-tahun Westport menampilkan keupayaan dalam meningkatkan produktiviti kapal.

"Kami berjaya melakukan 368 pergerakan menggunakan enam kren, iaitu bersamaan 60 psj.

"Pelabuhan Klang berkembang dengan 1.5 juta TEU kepada 5.2 TEU dengan 65 peratus jumlah dalam perniagaan pemunggahan kapal ke kapal," katanya.

Gnanalingam berkata, kerjasama dan bantuan pelbagai agensi kerajaan, termasuk sektor swasta menyumbang kepada kejayaan Westport hari ini.

Beliau menambah, peralihan pemikiran pihak kastam yang bersetuju bekerja sepanjang masa, nyata amat berharga.

Westport turut mendapat bantuan mantap daripada jabatan imigresen, kesihatan, pertanian dan perikanan.

"Semuanya membantu Westport dengan dokumentasi perlu, selain pelepasan pantas secara dalam talian.

"Kami juga mendapat sokongan padu syarikat telekomunikasi, Jabatan Bekalan Air dan Tenaga Nasional," katanya.

Gnanalingam berkata, faktor lain membantu pencapaian cemerlang Westport ialah tenaga kerja mahirnya.

"Bila melihat kepada kejayaan Westport, kami memikirkan soalan ini - siapa membangunkan Taj Mahal? Jawapan biasa ialah 'Shah Jahan membangunkan Taj Mahal'. Tetapi Taj Mahal hanya kekal sebuah mimpi jika bukan kerana ribuan artis dan tenaga kerja mahirnya.

"Kami bermula dengan 20 kakitangan pada 1994. Hari ini Westport digerakkan lebih 2,000 kakitangan.

"Kami 100 peratus rakyat Malaysia dengan 70 peratus tenaga kerjanya Bumiputera," katanya.

Beliau berkata, 99 peratus kakitangan Westport adalah baru dalam industri, tetapi dengan latihan menyeluruh dan skim pembangunan yang dirangka, mereka dibentuk menjadi tenaga kerja produktif dan berkemahiran memiliki standard prestasi tinggi bertaraf dunia.

"Kami percaya pekerja adalah aset organisasi, dan hanya syarikat terbaik saja akan mendapat pekerja terbaik," katanya.

Sulaiman kekal pengarah kumpulan

RHB Capital Bhd (RHB Capital) semalam mengumumkan pelantikan semula Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Taib sebagai pengarah kumpulan itu untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa 7 Mei lalu.

RHB Capital dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia semalam berkata, ini berikutan kelulusan Bank Negara Malaysia, semalam.

Bagaimanapun, katanya, permohonan bagi pelantikan semula Sulaiman sebagai pengerusi eksekutif kumpulan tidak diluluskan.

“Pelantikan semula Sulaiman sebagai pengarah anak syarikat RHB Capital iaitu RHB Bank Bhd dan RHB Sakura Merchant Bankers Bhd pula belum diluluskan,” katanya.

Saham RHB Capital meningkat kira-kira sembilan peratus sejak Isnin lalu berikutan pengumuman bahawa pelantikan semula Sulaiman sebagai pengerusi kumpulan belum diluluskan Bank Negara selepas tempohnya memegang jawatan itu selama dua tahun tamat pada 7 Mei lalu.

Penangguhan itu mencetuskan khabar angin RHB Capital mungkin akan disusun semula dan pemegang saham baru akan muncul untuk menerajui syarikat itu.

Sulaiman adalah pengarah dalam Utama Banking Group, yang memegang 33 peratus kepentingan dalam Rashid Hussain Bhd, iaitu pemilik 65 peratus kepentingan dalam RHB Capital.

RHB Capital pula menguasai RHB Bank dan RHB Sakura Merchant Bankers.

Saham RHB Capital semalam ditutup pada RM2.60, meningkat 3.6 peratus.

Tuesday, June 21, 2005

Kerajaan Akan Tubuh Institut Latihan Kewangan Antarabangsa Mengenai Kewangan Islam

Image hosted by Photobucket.com

Oleh Umi Hani Sharani

PUTRAJAYA, 21 Jun (Bernama) -- Kerajaan merancang untuk menubuhkan sebuah institut latihan kewangan antarabangsa mengenai kewangan Islam, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz di sini Selasa.

Menurutnya, kerja-kerja asas bagi penubuhan institut itu telah bermula.

Selain itu, Dr Zeti menyeru institusi-institusi perbankan Islam untuk berpadu tenaga dengan universiti-universiti tempatan dan antarabangsa bagi menyediakan latihan khusus bagi industri itu.

Ini termasuk bengkel-bengkel latihan dan kursus-kursus dalam barisan produk yang baru muncul yang memerlukan kemahiran dan kepakaran khusus, katanya ketika membentangkan ucaptama di Forum Pengamal-Pengamal Perbankan Islam 2005 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Zeti berkata, pendidikan graduan dan kakitangan lain yang memasuki pasaran kewangan Islam juga adalah penting.

"Para siswazah untuk mempelajari kewangan Islam atau Syariah, sama ada sebagai pengkhususan atau satu komponen major ijazah perniagaan, hendaklah disediakan di universiti-universiti tempatan dan asing," katanya.

Bagaimanapun, cabarannya adalah untuk menyediakan program yang bergerak sehaluan dengan perubahan dalam inovasi dan teknologi kewangan, kata Zeti.

Bagi memenuhi keperluan itu memerlukan dilaksanakan program yang ketat dan panjang seperti program lepasan siswazah dalam kewangan Islam dan kejuruteraan kewangan dengan penekanan yang pentingnya pada prinsip-prinsip perbankan Islam.

Pertubuhan yang relevan juga boleh menyokong program sedemikian dengan mewujudkan dana untuk menaja pelajar-palajar yang berkemampuan untuk meneruskan pendidikan formal, mulai dari kursus modular dalam kewangan Islam kepada program-program lepasan siswazah sepenuhnya, kata Zeti.

Wujud juga keperluan untuk meningkatkan program dan inisiatif yang menyediakan pendidikan dan latihan dalam bidang Syariah, katanya.

Dengan itu, menurutnya, pertubuhan penyelidikan Islam dan institusi kewangan perlu berusaha ke arah membangunkan sejumlah cerdik pandai yang mahir dalam Syariah yang dilengkapi dengan pengetahuan dan kepakaran yang mencukupi dalam jurisprudence dan undang-undang komersial Islam untuk menguruskan produk-produk inovatif dan canggih.

Para pengguna dan komuniti perniagaan juga perlulah dididik secara meluas, yang akan meningkatkan jangkauan, yang akan menghasilkan peningkatan permintaan bagi mendapatkan produk baru dan inovatif dan pendekatan.

Bagi Malaysia pula, beliau berkata, ia telah melaksanakan program pendidikan pengguna yang telah distrukturkan selama 10 tahun untuk meningkatkan tahap kesedaran pengguna mengenai ciri-ciri unik produk kewangan Islam dan pilihan produk yang ditawarkan oleh penyedia perkhidmatan kewangan Islam.

"Peningkatan kesedaran akan menjana permintaan bagi mendapatkan produk dan perkhidmatan Islam yang lebih meluas yang direka bentuk khusus kepada keperluan mereka, pada harga yang boleh bersaing dan melalui rangkaian yang sesuai," katanya. -- BERNAMA

IDB sedia pakej kewangan RM1.9b biaya pembangunan Iraq

BANK Pembangunan Islam (IDB) akan menyediakan pakej kewangan bernilai AS$500 juta (RM1.9 bilion) untuk membiaya pembangunan semula Iraq secepat mungkin.

Presiden IDB, Dr Ahmad Mohamed Ali, berkata ia adalah pakej pembiayaan terbesar diperuntukkan bank berkenaan kepada Iraq bagi membantu membina semula negara yang terjejas teruk akibat peperangan itu.

Katanya, sebelum ini IDB sudah menyalurkan pelbagai bantuan teknikal dan kemanusiaan bernilai kira-kira AS$2 juta (RM7.6 juta) kepada rakyat Iraq.

“Bantuan kewangan bernilai AS$500 juta itu akan dikeluarkan sebagai pakej dalam pelbagai kategori merangkumi geran, pinjaman mudah dan pembiayaan perdagangan,” katanya pada sidang media sempena Forum Perdagangan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) di Putrajaya, semalam.

Beliau berkata, IDB akan membiayai projek yang diberikan keutamaan termasuk bidang pendidikan, latihan vokasional, prasarana, kesihatan, air dan pembetungan, pertanian, import dan eksport produk serta komoditi asas.

Image hosted by Photobucket.com

Katanya, anggota IDB yang lebih berkemampuan harus mengambil bahagian dalam pembangunan semula negara itu terutama menyediakan kepakaran teknikal dan kewangan.

“Penyertaan aktif dan berkesan dalam pembangunan semula Iraq antara agenda penting IDB. Rakyat Iraq sedang menderita dan mereka perlukan bantuan ekonomi,” katanya.

Pakej pembiayaan itu sepatutnya dimeterai sepanjang persidangan Gabenor IDB ke-30, tetapi wakil Iraq tidak dapat hadir pada mesyuarat ini.

Perjanjian itu dijangka dimeterai di Jeddah, Arab Saudi tidak lama lagi.

IDB baru-baru ini menerbitkan sukuk kedua bernilai AS$500 juta (RM1.9 bilion) bagi meraih dana daripada pasaran antarabangsa bagi membiayai kegiatan pembangunan prasarana dan keupayaan anggota OIC.

Beliau berkata, IDB juga akan berperanan lebih aktif menggalakkan perdagangan antara negara anggota.

Pada mesyuarat kali ini IDB akan meluluskan cadangan penubuhan entiti kewangan baru bagi membiaya urus niaga intra OIC.

IDB yang ditubuhkan pada 1975 dan berpangkalan di Jeddah, Arab Saudi, dianggotai 55 negara.

Nigeria akan menjadi ahli ke-56, yang mana penyertaannya akan disahkan pada mesyuarat agung ke-30 IDB, Khamis ini.

Operasi domestik MAS, AirAsia dikaji

Image hosted by Photobucket.com

KERAJAAN sedang memperincikan penyusunan semula operasi perkhidmatan penerbangan domestik Penerbangan Malaysia dan AirAsia Bhd (AirAsia).

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Chan Kong Choy, berkata penyusunan semula itu bertujuan mewujudkan persekitaran lebih kondusif kepada kedua-dua syarikat penerbangan itu.

Katanya, langkah itu juga bagi memastikan kedua-dua syarikat mampu meneruskan perkhidmatan masing-masing tanpa menjejaskan satu sama lain.

“Pada masa ini, usaha itu berjalan lancar dan saya tidak boleh memberitahu bila ia akan diputuskan.

“Namun, saya yakin masih ada ruang bagi kedua-dua syarikat untuk bekerjasama dan menjadi pelengkap antara satu sama lain,” katanya.

Beliau menegaskan, kerajaan akan terus memberi perhatian kepada perkhidmatan penerbangan di kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak.

Chan berkata demikian selepas majlis memeterai memorandum persefahaman perdagangan dan pelaburan antara syarikat Malaysia dan Liaoning, China anjuran Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia (ACCCIM) di Kuala Lumpur, semalam.

Ditanya mengenai laporan kemungkinan MAS menyerahkan sebahagian besar destinasi domestiknya kepada AirAsia, Chan berkata, beliau tidak tahu mengenainya.

MAS dikatakan mungkin menumpukan penerbangannya ke bandar utama, iaitu Pulau Pinang, Langkawi, Kuching dan Kota Kinabalu.


Image hosted by Photobucket.com

Syarikat tempatan keluarkan ubat-ubatan

MENJELANG suku pertama 2007, Malaysia dijangka mampu menawarkan sekurang-kurangnya sepertiga daripada proses pembangunan ubat-ubatan melalui pelaburan syarikat tempatan, TH Group Bhd dalam industri bioteknologi.

Pengerusi Springhill Management Ltd yang juga pengurus dana bagi Spring Hill Bioventures, Dr Kim Tan, berkata TH Group yang memiliki 16 peratus ekuiti Spring Hill Bioventures, yakin Malaysia mampu membangunkan industri bioteknologi melalui pelaburan itu.

“Kita perlu bijak untuk mencapai kemajuan dunia dalam bidang bioteknologi yang mula dibangunkan sejak 30 tahun lalu. Dalam industri penghasilan ubat-ubatan, prosesnya rumit dan mengambil masa panjang.

“Sehubungan itu, amat bijak bagi Malaysia menggunakan sepenuhnya kekuatan yang ada terutama dalam teknologi maklumat (IT) dan sektor pengeluaran serta pada masa sama, terbabit dalam sumber luar dan kontrak pengeluaran dalam bidang bioteknologi,” katanya ketika ditemui media tempatan di Bio 2005, semalam.

Selain TH Group, pemegang saham dalam Spring Hill Bioventures yang bernilai AS$30 juta (RM114 juta) itu ialah Khazanah Nasional Bhd, Great Eastern Life dan Pacific Fidelity.

Proses pembangunan ubat-ubatan perlu melalui tempoh panjang dengan empat peringkat rumit iaitu penemuan ubat, ujian toksikologi, pengeluaran ubat untuk ujian klinikal dan proses pendaftaran.

Dilaporkan bagi setiap 10,000 ubat yang ingin dikeluarkan, hanya lima diluluskan untuk tujuan ujian terhadap manusia. Ini diikuti prosedur pendaftaran yang rumit dan membabitkan banyak pihak.

Dr Kim berkata, strategi bijak serta rangkaian kerjasama berkesan mampu membantu syarikat tempatan meneroka bidang bioteknologi seperti di kebanyakan negara maju.

“Kita perlu bersedia melakukan pelaburan pada waktu panjang dan kerajaan juga perlu sentiasa memberi sokongan,” katanya.

Beliau berkata, institusi kewangan tempatan termasuk Permodalan Nasional Bhd, Tabung Haji dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang memiliki dana yang tinggi perlu digalak meneroka bidang bioteknologi.

Monday, June 20, 2005

Pengurangan Tarif Bagi Meliberalisasikan Pasaran Islam, Kata Rafidah

Image hosted by Photobucket.com

Oleh Nor Baizura Basri

PUTRAJAYA, 20 Jun (Bernama) -- Langkah-langkah untuk meliberalisasikan akses pasaran di kalangan negara-negara Islam akan mencapai satu kemajuan ke hadapan apabila Sistem Keutamaan Perdagangan Pertubuhan Persidangan Islam (TPS-OIC) yang bermatlamat mengurangkan tarif secara berperingkat-peringkat dilaksanakan bagi meningkatkan perdagangan sesama sendiri.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Rafidah Aziz berkata, sistem itu yang membabitkan 14 buah negara meliputi tujuh peratus daripada keseluruhan tarif.

Model pengurangan tarif itu ialah: melebihi 25 peratus akan dikurangkan kepada 25 peratus; melebihi 15 peratus dan sehingga 25 peratus akan dikurangkan kepada 15 peratus; dan melebihi 10 peratus dan sehingga 15 peratus akan dikurangkan kepada 10 peratus.

"TPS-OIC itu akan meliputi tujuh peratus daripada barisan tarif kita dan kemudiannya diikuti mekanisme laluan segera sukarela. Protokol itu dijangka dimuktamadkan dalam bulan November," kata Rafidah kepada pemberita di sidang akhbar di sini Isnin.

Dengan pelaksanaan tarif itu, negara-negara OIC menyediakan akses pasaran yang lebih baik kepada produk masing-masing negara sambil memastikan negara-negara anggota OIC yang lain untuk menyertainya sebaik sahaja sistem itu dilaksanakan, katanya.

Menurutnya, perundingan bagi pelaksanaan protokol TPS-OIC itu antara negara-negara dijangka dimuktamadkan menjelang September, dengan harapan ia akan beroperasi menjelang akhir tahun ini.

"Perundingan yang sedang dilaksanakan sekarang berkaitan model pengurangan dan tempoh pelaksanaannya tetapi ini masih meliputi tujuh peratus barisan tarif keseluruhannya," kata Rafidah.

Tarif itu akan dikurangkan dalam empat peringkat oleh negara-negara membangunan dan enam peringkat oleh negara-negara yang paling mundur.

Kesemua 14 buah negara itu ialah Malaysia, Iran, Turki, Bangladesh, Tunisia, Lubnan, Libya, Egypt, Pakistan, Cameroon, Indonesia, Guinea, Jordan dan Uganda.

Selain itu, Rafidah berkata, Peraturan Perdagangan Keutamaan (PTA) akan dilaksanakan di kalangan negara-negara D8 yang dicadangkan di mesyuarat pakar peringkat tinggi yang pertama yang telah diadakan di Iran tidak lama dahalu.

"Kita membincangkan mengenai liputan produk, jadual pengurangan tarif dan juga tempoh masa untuk menghapuskan sekatan bukan tarif. Dengan lain perkataan, dalam OIC itu sendiri, telah wujud dua mekanisme pembukaan pasaran yang selari yang sedang diwujudkan," katanya.

Katanya, peraturan D8 yang terdiri daripada lapan buah negara dan kumpulan yang lebih kecil daripada TPS-OIC, adalah lebih baik daripada OIC-PTA dan satu langkah ke hadapan daripada sistem itu.

Negara-negara D8 itu ialah Malaysia, Indonesia, Bangladesh, Egypt, Nigeria, Iran, Pakistan dan Turki.

"Sebaik sahaja dimuktamadkan, kita akan mengumumkan segala-galanya. Kini kita sedang berunding," kata Rafidah.

Sementara itu, presiden Bank pembangunan Islam (IDB) Dr Ahmed Mohamed Ali berharap bahawa deraf protokol mengenai skim tarif keutamaan bagi sistem keutamaan perdagangan OIC, yang akan disahkan dalam bulan September tahun ini, akan dapat ditandatangani.

"Saya pasti dan berdoa agar Datuk Seri Rafidah Aziz dan rakan-rakannya yang lain dari 13 buah negara OIC akan berjaya dalam usaha untuk menandatangani deraf protokol itu yang akan menjadi satu mercu tanda dan penginstitusian yang pertama pengurangan tarif yang bermatlamat untuk meningkatkan lagi perdagangan sesama OIC," katanya ketika berucap di Forum Perdagangan OIC, sebelum itu.

-- BERNAMA

Islamic finance to have greater alignment

ISLAMIC finance services industry products may never achieve a complete convergence, said David Vicary, former director of financial services, Deloitte Consulting Malaysia Sdn Bhd.

He said this was because of the different schools of thought in Malaysia and the Gulf countries.

The differences, however, may well lead to a greater alignment between Islamic products in Malaysia and those of the Gulf countries, he said when commenting on the suggestion for Malaysia to create niche Islamic products in establishing itself as the Islamic financial centre.

“I believe there are mechanisms in place to ensure much more harmony (in products) here,” he said “But the more important thing is the development of products which are needed by the market,” he added.

Vicary added that many Islamic products today mimicked conventional products as many Islamic bankers came from the conventional background.

“But we are now looking at a new generation of students coming out of the Islamic universities with a good knowledge of business and Syariah. They will come out with very innovative products that come back to the Islamic economic principles, particularly like the musharakah or the joint equity financing,” he said.

He was confident that there would be a continuous good quality product development in both Islamic and conventional products. – Bernama

Industri letak kereta RM2.4b

Oleh Nor Liza Ahmad

Image hosted by Photobucket.com

PERKHIDMATAN pengurusan tempat meletak kereta sering dilihat perniagaan kelas bawahan, namun berdasarkan pertambahan pesat bilangan kenderaan, ia adalah industri yang menawarkan peluang perniagaan bernilai berbilion-bilion ringgit.

Berdasarkan bilangan kenderaan berdaftar di negara ini, kira-kira 6.8 juta sehingga 30 April lalu, dan dengan mengambil purata setiap pemilik kenderaan membelanjakan RM1 sehari atau RM360 setahun untuk kos meletak kereta, nilai industri ini adalah sekitar RM2.4 bilion setahun.

Bagaimanapun, ia adalah berdasarkan perkiraan terendah.

Jika mengambil kira perbelanjaan pemilik kenderaan di bandar besar seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru, sehingga mencecah RM12 sehari, nilainya adalah berkali ganda lebih tinggi.

Dua peserta utama dalam industri ini ketika ini, iaitu Metro Parking Sdn Bhd, Secure Parking Corporation Sdn Bhd saja, masing-masing meraih pendapatan kira-kira RM40 juta dan RM29 juta tahun lalu.

Selain Metro Parking dan Secure Parking, beberapa syarikat utama lain dalam industri ini ialah Imej Parking Sdn Bhd, Advance Parking Sdn Bhd dan Auto Parking Sdn Bhd.

Di samping itu, ada antara 200 dan 300 syarikat kecil lain, dengan kira-kira 20 yang aktif menguruskan purata 10 lokasi tempat meletak kereta, selain pengurus secara haram.

“Pertambahan bilangan kenderaan di negara ini setiap tahun adalah menyumbang kepada pertumbuhan permintaan ruang meletak kereta, sekali gus menjadikan industri ini antara yang menyediakan potensi perniagaan yang besar,” kata Pengarah Urusan Metro Parking, Halmi Jasmin.

Sehingga 30 April lalu, jumlah kereta persendirian yang didaftarkan di seluruh negara ialah 6,084,464 unit, manakala kereta sewa dan kenderaan komersial masing-masing berjumlah 10,548 unit dan 784,015 unit.

Bagi menggambarkan potensi pertumbuhan industri ini pula, jualan kenderaan baru di negara ini tahun lalu meningkat 16.8 peratus kepada 472,600 unit.

Tahun ini pula, Persatuan Automotif Malaysia menganggarkan jualan kenderaan akan mencecah 500,000 unit yang mana sehingga April lalu 144,491 unit sudah dijual.

Dianggarkan ketika ini terdapat 500,000 tempat meletak kereta di seluruh negara, dengan kira-kira 180,000 ruang dimiliki syarikat persendirian, manakala bakinya oleh pihak berkuasa tempatan, termasuk dewan bandaraya dan majlis perbandaran.

“Berdasarkan kepada angka pertumbuhan bilangan kenderaan itu, lebih banyak ruang meletak kereta diperlukan.

“Perkhidmatan ruang meletak kereta yang baik juga mampu meningkat nilai sesuatu hartanah,” kata Halmi.

Sebagaimana perniagaan lain, pembabitan secara serius dalam industri ini tentunya membabitkan pelaburan.

“Mengambil kira saiz, sistem yang digunakan dan kedudukan lokasi, ia memerlukan pelaburan sehingga RM1 juta,” kata Halmi.

Beliau berkata, secara purata pelaburan sekurang-kurangnya RM100,000 diperlukan bagi kawasan meletak kenderaan yang mempunyai antara 200 hingga 300 petak meletak kereta yang dilengkapi sistem tiket elektronik.

Sementara itu, Pengarah Urusan Secure Parking, Edward Poh, berkata ramai yang menganggap bidang perniagaan itu adalah mudah kerana membabitkan tunai.

Namun beliau berkata, tanpa model perniagaan yang baik, peserta bukan saja tidak dapat bersaing, malah mungkin gulung tikar.

“Margin keuntungan adalah kecil antara tiga hingga lima peratus,” katanya.

Polisi GLC didakwa monopoli projek disemak

KUALA LUMPUR 19 Jun - Kerajaan akan mengambil inisiatif mengkaji cadangan supaya polisi syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) disemak bagi membendung keghairahan mewujudkan anak-anak syarikat yang didakwa menjadi pesaing kepada kontraktor.

Menteri Kewangan II, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, ada kemungkinan berlaku salah faham dan semakan perlu dibuat sebelum sebarang tindakan diambil.

``Memang menjadi hasrat kerajaan agar GLC membantu kontraktor dan bukan sebagai pesaing, maka itu kita akan kaji perkara ini,'' kata beliau ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas cadangan Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Datuk Muhammad Muhiyuddin Abdullah agar kerajaan mengkaji semula polisi GLC yang `rancak' mewujudkan banyak anak syarikat sehingga menyebabkan lebih 60 peratus kontraktor di seluruh negara tidak mendapat projek.

Tindakan GLC ini, kata beliau, telah menjejaskan masa depan kontraktor terutama kelas A hingga D.

Menurut Muhammad Muhiyuddin, GLC sepatutnya berperanan sebagai pemaju bukannya mewujudkan banyak anak syarikat sehingga memonopoli semua projek termasuk pembinaan dan penyelenggaraan yang mampu dilakukan oleh kontraktor.

Sementara itu, Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia, Datuk Roslan Awang Chik pula berkata, memang ada benarnya kenyataan Muhammad Muhiyuddin itu.

``GLC seharusnya mentakrifkan perbezaan di antara anak-anak syarikat yang kecil dengan yang besar terutama yang terlibat dengan industri binaan sebelum sebarang pengagihan projek dibuat.

``Jika amalan sekarang dibiarkan berterusan, peluang untuk kontraktor terutamanya kontraktor bumiputera akan tersekat,'' tegas beliau ketika dihubungi.

GLC besar, tambah beliau, perlu mewujudkan satu sistem yang membolehkan mereka menolong kontraktor.

Roslan berkata, anak-anak syarikat Perbadanan Pembangunan Ekonomi Negeri (SEDC) yang menjalankan industri binaan juga patut ditutup untuk memberi laluan kepada kontraktor.

``Mereka sudah memainkan peranan sebelum ini dalam mewujudkan peluang-peluang pekerjaan kerana ketika itu bilangan kontraktor amat kurang berbanding sekarang,'' katanya.

Selain itu, beliau menyarankan agar sistem vendor diwujudkan di mana GLC yang mendapat projek di luar negara boleh mengagihkannya kepada kontraktor.

Saturday, June 18, 2005

Stocks rise on jump in oil

BY MARK MCSHERRY

NEW YORK: US stocks ended higher on Friday, helped by a jump in energy and mining companies' shares as oil and metals prices soared to record highs, while an index of consumer confidence rose for the first time this year.

Stock investors jumped on the commodities bandwagon, snapping up Exxon Mobil Corp and rival oil company ConocoPhillips, which helped push the broad S&P 500 into positive territory for the year.

Exxon Mobil, the world's biggest publicly traded oil company, rose 1.3% to US$60.89 and ConocoPhillips gained 3.6% to US$60.68, after US oil futures hit a fresh intra-day record at US$58.60 a barrel.

Caterpillar Inc, which gave the biggest lift to the blue-chip Dow, rose almost 2% to US$100.20, as the heavy equipment maker benefited from the boom in mining and metals prices. Copper futures hit a record in London and repeatedly set 16-year highs in New York.

“Oil up a buck-and-a-half is helping the energy stocks,” said Peter Boockvar, equity strategist at Miller Tabak & Co, in an interview before the oil futures trading session ended.

The Dow Jones industrial average ended up 44.42 points, or 0.42%, at 10,623.07. The Standard & Poor's 500 Index closed higher by 6.00 points, or 0.50%, at 1,216.96. The tech-laced Nasdaq Composite Index edged up 0.96 of a point, or 0.05%, to 2,090.11.

For the week, the Dow was up 1.05%, the S&P 500 rose 1.57% and the Nasdaq climbed 1.31%.

After the bell, shares of Johnson & Johnson slipped to US$65.76 on the Inet electronic brokerage network after the healthcare products company said it was continuing talks with Guidant regarding a recall of some of the implantable heart defibrillators that Guidant makes. Johnson & Johnson, a Dow component, ended the regular session up 0.4% at US$66.56.

“The consumer has a bit more confidence and is out there spending money,” said Joseph Battipaglia, chief investment officer for brokerage and research firm Ryan, Beck & Co.

On Friday morning, Wall Street got good news when the University of Michigan's early reading on consumer confidence for June rose to 94.8 for its first gain this year, market sources said, well ahead of May's reading of 86.9 and higher than analysts had expected.

“The only impediment that's still up there is, of course, the price of oil,” Battipaglia said.

While high oil prices are generally negative for stocks and indeed trimmed the market's gains in afternoon trading, they help energy companies' profits.

Oil prices set a new record of US$58.60 a barrel during the NYMEX session after the United States and other Western nations shut consulates in oil-producing Nigeria following a terrorist threat.

US crude for July delivery settled at a record US$58.47, up US$1.89.

Alcoa Inc, the world's largest aluminium producer and another Dow component, rose 1.2%, or 32 cents, to US$28.25 as aluminium prices stayed at lofty levels.

On the Nasdaq, Millennium Pharmaceuticals Inc. jumped nearly 14%, or US$1.14, to US$9.40 against a backdrop of speculation that the company could be a takeover candidate, analysts said.

On Thursday, Millennium said the New England Journal of Medicine published positive reports on two of its products, an oncology drug, Velcade, and MLN02, an investigative treatment for inflammatory bowel diseases.

The New York Stock Exchange said first-hour volume reached an all-time high of 704,370,000 shares.

By the close, about 1.94 billion shares had been traded on the New York Stock Exchange.

On Nasdaq, about 2.11 billion shares were traded, above the 1.81 billion daily average last year. – Reuters

Pendaftaran Kenderaan Naik 10 Peratus

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Pendaftaran kenderaan dalam suku pertama tahun ini meningkat sebanyak 21,769 buah atau 10 peratus daripada 238,934 buah kenderaan dalam tempoh Januari hingga Mac tahun lepas.

Jabatan Perangkaan dalam buletinnya bulan Mei berkata, 117,457 buah kereta telah didaftarkan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan dari Januari hingga Mac tahun ini berbanding 103,373 buah bagi tempoh yang sama tahun lepas, diikuti dengan 108,571 buah motosikal berbanding 101,148 motosikal tahun lepas.

Sebanyak 932,363 buah kenderaan telah didaftarkan tahun lepas dan daripada jumlah itu, kereta sebanyak 472,116 buah, diikuti motosikal (397,997), bas (1,290), teksi dan kereta sewa (9,543), kenderaan barang (33,169) dan kenderaan lain (18,268).

Menurut buletin itu lagi, bilangan penumpang yang menggunakan Putra-LRT, Star-LRT dan KTM Komuter meningkat tahun lepas berbanding tahun sebelumnya.

Tahun lepas, 57,729,971 penumpang menggunakan Putra-LRT, 43,353,471 Star-LRT dan 27,381,423 KTM Komuter berbanding dengan 56,527,971; 39,084,943 dan 24,645,493 masing-masing pada 2003.

Bagi bulan Januari tahun ini, 5,036,956 penumpang menggunakan Putra-LRT berbanding 4,653,587 penumpang pada Januari tahun lepas; 3,793,610 bagi Star-LRT berbanding 3,428,478 pada 2004; dan 2,520,228 bagi KTM Komuter berbanding 2,316,880 pada 2004.

Bagi langganan Internet secara panggilan telefon, terdapat peningkatan 5.6 peratus daripada 2.881 juta pelanggan pada 2003 kepada 3.293 juta pada 2004 manakala anggaran jumlah pengguna Internet meningkat daripada 9.444 juta pengguna pada 2003 kepada 9.879 juta pada 2004.

Bilangan pelanggan broadband meningkat lebih dua kali ganda daripada 110,406 pelanggan pada 2003 kepada 252,501 pada 2004.

Jumlah pengguna telefon selular meningkat daripada 11.124 juta pada 2003 kepada 14.455 juta tahun berikutnya.

Bagaimanapun, talian telefon tetap yang dibekalkan ke kawasan perumahan menurun daripada 3.194 juta pelanggan pada 2003 kepada 2.938 juta pada 2004.

Jumlah telefon awam juga menurun daripada 114,000 pada 2003 kepada 105,000 pada 2004.- BERNAMA

MUTB tawar dana bon Islam dengan tempoh matang 3 tahun

KUALA LUMPUR 17 Jun - Mayban Unit Trust Bhd. (MUTB), syarikat di bawah Kumpulan Maybank, melancarkan Dana Bon Institusi Islam baru yang dipanggil Mayban i-trust Fund (Mi 2008) dengan tempoh pelaburan tetap selama tiga tahun dan matang pada tahun 2008.

Objektif pelaburan Mi 2008 adalah untuk mengekalkan modal awal dana itu dan berusaha mendapatkan pulangan melalui pelaburan dalam Bon dan Sekuriti Hutang Islam yang mendapat penarafan minimum `A2' oleh Rating Agency Malaysia Bhd atau penarafan `A' oleh Malaysian Rating Corporation Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif MTUB, Shamsudin Bahari, dalam kenyataannya di sini berkata Mi 2008 terbuka kepada semua individu dan syarikat yang berhasrat mendapatkan pulangan lebih baik berbanding kadar simpanan tetap yang ada sekarang dan pelaburan yang mematuhi prinsip Syariah.

``Pelabur-pelabur ditawarkan peluang untuk melabur tanpa sebarang bayaran perkhidmatan awal. Bagaimanapun, bayaran `keluar' dikenakan kepada pelabur yang membuat penebusan awal, kerana dana ini menggalakkan pelaburan jangka panjang,'' katanya.

Beliau berkata, nilai aset bersih dana sehingga 90 peratus boleh digunakan sebagai cagaran bagi mendapatkan kemudahan pinjaman Maybank.

Peruntukan aset dana itu adalah sebanyak 70 hingga 98 peratus dalam bon/sekuriti hutang Islam dan 2 hingga 30 peratus dalam instrumen pasaran wang jangka pendek.

Saiz dana yang diluluskan bagi Mi 2008 ialah RM150 juta atau 300 juta unit pada harga 50 sen seunit.

Jumlah pelaburan minimum ditetapkan sebanyak RM10,000 dan RM50,000 masing-masing bagi individu dan syarikat, manakala jumlah maksimum ditetapkan sebanyak RM1.0 juta dan RM5 juta.

Tempoh tawarannya adalah 45 hari iaitu dari 16 Jun hingga 30 Julai.

Setakat akhir bulan Mei 2005, MUTB mempunyai aset bernilai lebih RM2.5 bilion di bawah pengurusannya, menjadikannya salah sebuah syarikat pengurusan amanah saham terbesar dalam industri pada masa ini. Dengan 17 dana amanah saham, MUTB menawarkan spektrum penyelesaian pelaburan yang luas bagi memenuhi keperluan kewangan berbeza-beza di kalangan penduduk Malaysia yang juga berbeza-beza tahap toleransi risiko dan objektif pelaburannya.

MFA lancar laman web FIM 2005

KUALA LUMPUR 17 Jun - Persatuan Francais Malaysia (MFA) hari ini melancarkan laman web rasminya ``Franchise International Malaysia (FIM) 2005'' sempena Persidangan dan Pameran FIM yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) antara 12 hingga 14 Ogos ini.

Laman web yang akan memuatkan maklumat berkaitan perkembangan FIM itu dilancarkan oleh Timbalan Ketua Setiausaha, Pembangunan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD) Mangsor Saad.

Menurut Mangsor, pelancaran laman web ini memang bertepatan dengan misi kementerian untuk menggalakkan penyertaan rakyat Malaysia dalam perniagaan francais ini.

Pada tahun ini, FIM menyasarkan 10,000 orang pengunjung ke persidangan dan pameran yang akan disertai 120 buah syarikat tempatan dan luar negara itu, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya, beberapa buah syarikat dari Indonesia, Thailand, Emiriah Arab Bersatu, Australia, sepanyol dan Amerika turut berminat untuk menyertai pameran itu. Bagaimanapun, beliau tidak mengulas lebih lanjut.

Sementara itu, Naib Pengerusi MFA Syed Shaikh Syed Mohamad berkata laman web wwww.mfa.org.my/fim2005 yang dilancarkan ini mempunyai pautan dengan laman web rasmi MFA dan dijangka dikunjungi 700 pengunjung sehari.

Katanya, selain pelancaran laman web ini, MFA juga telah mengadakan promosi FIM 2005 dengan beberapa pihak media

Jimat dengan kad Bank Islam

AKHBAR baru-baru ini mendedahkan peningkatan kes muflis di kalangan pengguna kad kredit di negara ini.

Keadaan ini adalah gara-gara pengguna terlalu ghairah berbelanja menggunakan kad kredit tanpa mempunyai perancangan pembayaran hutang tertunggak secara sistematik.

Kad kredit yang sepatutnya memberikan kemudahan kepada pengguna kini bertukar menjadi beban disebabkan kadar faedah tinggi yang ditetapkan bank.

Bagi mengelak daripada terjerat dengan kadar faedah berganda ini, di samping menikmati pelbagai penjimatan lain, pengguna kad kredit konvensional, baik yang beragama Islam mahupun yang bukan Islam, kini mempunyai pilihan untuk bertukar kepada kad kredit yang menyediakan alternatif yang berlandaskan hukum syarak seperti yang ditawarkan Bank Islam atau lebih dikenali sebagai kad Bank Islam.

Pada dasarnya, selain daripada ketiadaan sebarang unsur riba (faedah) dan gharar (ketidaktentuan), Kad Bank Islam menggunakan gabungan kontrak Bai Al-Inah (jual-beli dengan harga tertangguh) danal-Wadiah (jaminan simpanan).

Kontrak Bai Al-Inah terbahagi kepada dua iaitu kontrak penjualan dan kontrak pembelian.

Bank Islam akan menjual aset miliknya kepada pelanggan dengan harga yang lebih tinggi.

Seterusnya, Bank Islam akan membeli semula aset itu (yang akan menjadi had pembiayaan kad) secara tunai.

Melalui kaedah kontrak ini, pelanggan akan menggunakan had pembiayaan yang diberikan kepadanya dan berhak menggunakan kad sepanjang kontrak kad kredit itu.

Bagi pengguna kad kredit, perbezaan yang paling nyata antara Kad Bank Islam dengan kad kredit konvensional ialah pengiraan keuntungan.

Kadar keuntungan yang dikenakan kad Bank Islam dikira setiap bulan berdasarkan jumlah tertunggak atau jumlah yang digunakan sepanjang bulan terbabit.

Tidak seperti kad konvensional, keuntungan yang dikenakan kad Bank Islam tidak berganda, justeru mengelak daripada pengguna kad kredit dibebankan hutang berlebihan.

Selain itu, kad Bank Islam turut menekankan aspek ketelusan.

Pengguna akan tahu jumlah maksimum keuntungan yang akan dikenakan Bank Islam sepanjang tempoh kontrak.

Oleh demikian, jumlah keuntungan bulanan yang ditetapkan kad Bank Islam tidak boleh melebihi jumlah keuntungan yang ditetapkan untuk tempoh kontrak.

Hal ini berbeza dengan kad kredit konvensional yang tidak menetapkan kadar faedah serta mengenakan pelbagai caj tambahan ‘tersembunyi’.

Kad kredit konvensional, pelanggan akan dikenakan caj 18 peratus setahun, tetapi pengguna kad Bank Islam berpeluang menikmati penjimatan tambahan sehingga 7.1 peratus setahun daripada jumlah itu.

Jika pelanggan melakukan arahan potongan tetap atau auto-debit daripada akaun semasa atau akaun simpanan mereka di Bank Islam untuk membuat pembayaran bagi kad Bank Islam, akan menikmati insentif 0.5 peratus rebat keuntungan sepanjang tempoh kontrak (tiga tahun).

Melalui kemudahan auto-debit ini juga, secara tidak langsung pelanggan dapat menguruskan akaun kad Bank Islam mereka dengan lebih baik.

Memandangkan masalah kemudahan pembayaran menjadi salah satu sebab bayaran kad kredit lewat dijelaskan pengguna, Bank Islam memperkenalkan pelbagai saluran pembayaran.

Pengguna dapat membuat pilihan pembayaran sama ada melalui cek atau tunai di kaunter, mengepos cek ke Pusat Kad Bank Islam, mesin deposit tunai, Inter-Bank GIRO, portal perbankan internet www.bankislam.biz dan sistem pesanan ringkas bankislam.sms.

Untuk maklumat lanjut berkenaan kad Bank Islam, sila lawati laman web www.bankislam.com.my, e-mel kepada bankislamcard@bankislam.com.my atau hubungi talian 03-2698 0808 atau talian bebas tol 1-800-88-8989 atau melalui SMS : BICC dan hantarkan ke 32728.

Info Bisnes: Prosedur tubuh syarikat

Oleh Dr Ismail Ab Wahab

SELEPAS mengenal pasti peluang perniagaan dan sumber modal bagi menjalankannya, langkah seterusnya yang perlu dilakukan bakal usahawan ialah menubuhkan syarikat.

Lazimnya perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini didaftarkan sama ada di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 (milikan tunggal dan perkongsian), atau Akta Syarikat 1965 (syarikat sendirian berhad).

Sebelum memilih jenis entiti perniagaan, penting untuk mengetahui beberapa bentuk perniagaan ada di negara ini.

Milikan Tunggal

Dimiliki oleh seorang pengusaha dan lazimnya dibantu pekerja yang dibayar gaji.

Pemilik bertanggungjawab sepenuhnya terhadap modal, hutang perniagaan, pengurusan dan masa depan perniagaan.

Perniagaan Perkongsian

Dimiliki dua hingga 20 orang.

Hak dan tanggungjawab rakan kongsi termaktub dalam Surat Perjanjian dan Akta Perkongsian 1961.


Hutang perniagaan ditanggung rakan kongsi secara bersama.

Syarikat Sendirian Berhad

Tanggungan kewangan anggota syarikat terhad kepada jumlah saham yang dipegang.

Nama syarikat perlu menggunakan perkataan Sdn Bhd di hujungnya.

Bilangan anggota antara 2 hingga 50 orang.

Tidak dibenarkan mempelawa orang ramai membeli sebarang saham syarikat.

Cara Mendaftarkan Syarikat Milikan Tunggal dan Perkongsian

Mengikut Seksyen 5, Akta Pendaftaran Perniagaan 1956, butiran nama perniagaan, tarikh mula berniaga, jenis perniagaan dan pemilik perniagaan hendaklah dikemukakan bagi tujuan pendaftaran di pejabat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Borang yang digunakan bagi mendaftarkan perniagaan ialah Borang ‘A’ yang boleh diperoleh percuma di pejabat SSM.

Bakal peniaga perlu mencatatkan butiran perniagaan dalam borang dan menandatanganinya di depan Pegawai Pengesahan yang dinamakan dalam Borang ‘A’ iaitu hakim, Ahli Parlimen, majistret, peguam, pegawai daerah atau penghulu.

Bayaran pendaftaran perniagaan ialah RM30 bagi perniagaan yang menggunakan nama pemiliknya dan RM60 bagi perniagaan yang menggunakan nama dagang.

Sesuatu perniagaan yang menggunakan nama pemilik bersama perkataan lain dianggap menggunakan nama dagang dan dikenakan bayaran pendaftaran RM60.

Tanggungjawab Pemilik Perniagaan

Pemilik tunggal atau rakan kongsi mempunyai tanggungan terhadap hutang perniagaan yang tidak terhad.

Sebarang aset peribadi peniaga boleh diambil bagi menyelesaikan semua hutang perniagaan.

Jika peniaga atau rakan kongsi tidak mempunyai aset yang mencukupi bagi membayar balik hutangnya, tindakan mahkamah boleh diambil bagi mengisytiharkannya muflis.

Cara Mendaftarkan Syarikat Sendirian Berhad

Untuk mendaftarkan syarikat sendirian berhad, usahawan perlu mendapatkan khidmat setiausaha syarikat.

Di sisi undang-undang, syarikat adalah badan korporat yang mempunyai identiti tersendiri dan berasingan daripada pemegang sahamnya.

Oleh itu, sesebuah syarikat boleh mendakwa dan didakwa.

Bagi mendaftarkan syarikat, Memorandum Persatuan dan Perkara-Perkara Persatuan perlu disediakan.

Memorandum Persatuan menerangkan beberapa komponen penting struktur sesebuah syarikat.

- Penulis ialah pensyarah di Pusat Pembangunan Usahawan Malaysia, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam.

MAS serah sebahagian destinasi domestik kepada AirAsia

Image hosted by Photobucket.com

PENERBANGAN Malaysia (MAS) mungkin menyerahkan sebahagian besar destinasi domestiknya kepada AirAsia Bhd di bawah satu pelan yang dijangka membantu mengurangkan beban kewangan kerajaan.

Kerajaan menerusi syarikat miliknya, Penerbangan Malaysia Bhd, kini menyerap kos bagi perkhidmatan penerbangan domestik MAS.

MAS mencatatkan kerugian operasi kira-kira RM281 juta bagi penerbangan domestik dalam tahun kewangan lalu, iaitu kenaikan hampir 80 peratus daripada tahun sebelumnya.

Sumber yang rapat dengan janji niaga itu memberitahu Business Times, MAS mungkin menumpukan penerbangannya bagi bandar utama, iaitu Pulau Pinang, Langkawi, Kuching dan Kota Kinabalu, sementara AirAsia akan mengambil destinasi yang kini kurang menguntungkan.

Langkah ini mungkin diumumkan menjelang akhir bulan ini.

Bagaimanapun, Penganalisis Kanan di OSK Research Chris Eng, berkata kerajaan mungkin terus memberikan subsidi bagi destinasi yang merugikan sebagai tanggungjawab sosial.

"Adalah lebih baik bagi MAS untuk menumpukan kepada bandar utama, bukan saja kerana permintaan, tetapi juga kerana ia adalah penyambung kepada penerbangan antarabangsa syarikat penerbangan kebangsaan itu," kata seorang penganalisis lain.

Laporan sebelum ini menyebut bahawa MAS mungkin menghentikan perkhidmatannya di kawasan luar bandar di Sabah dan Sarawak yang kini menggunakan pesawat Twin Otter dan Fokker 50 kerana tidak menguntungkan kecuali kadar tambangnya dinaikkan.

MAS juga mungkin memberikan tumpuan kepada bahagian pasaran premium untuk mengelakkan pertindihan peranan dengan AirAsia.

Ini bermakna, MAS akan menumpukan kepada pasaran penumpang yang sanggup membayar lebih bagi keselesaan.

Eng berkata, aturan baru itu akan memberi kesan positif kepada pendapatan keseluruhan AirAsia.

Tanpa persaingan daripada MAS, syarikat penerbangan tambang murah itu boleh meningkatkan kekerapan penerbangannya, sekali gus membolehkannya mendapatkan pendapatan lebih tinggi.

“Sebenarnya tidak ada banyak bezanya kepada MAS kerana ia hanya mengendalikan perkhidmatan domestik untuk syarikat milik kerajaan, iaitu MAS,” katanya.

Mengenai perkhidmatan ke kawasan pedalaman, Eng berkata, tidak mungkin kerajaan akan menyerahkan tugas itu kepada AirAsia yang tidak memiliki pesawat yang sesuai untuk terbang ke kawasan berkenaan.

Image hosted by Photobucket.com

Sementara itu Ketua Eksekutif AirAsia Bhd, Tony Fernandes ketika dihubungi Berita Harian mengenai perkara itu, berkata cadangan itu adalah satu idea yang baik.

Beliau berkata, ia akan memberi manfaat kepada MAS dari segi keupayaan menyalurkan perkhidmatannya kepada saluran yang betul.

“Ia juga akan memberikan manfaat kepada rakyat kerana mendapat perkhidmatan penerbangan pada kadar tambang lebih murah bagi laluan penerbangan domestik yang sebelum ini dikuasai MAS,” katanya.

Tony bagaimanapun berkata, satu formula penetapan kadar tambang yang berpatutan perlu diperkenalkan oleh MAS bagi laluan domestik yang akan menjadi fokusnya selepas ini.